VOICES FROM FAR










Tinggalkan komen atau cadangan anda di ruang yang ditetapkan ? Terima kasih. Please leave your comments or suggestions in the comment space as provided respectively.Thank you.

Thursday, October 9, 2008

Makan Untuk Hidup?

Berita mengenai pencemaran bahan kimia melamin ditemui dalam produk tenusu China hari ini sama hebatnya dengan pergolakan politik negara. Bagus, ini menandakan masyarakat Malaysia kini semakin prihatin dengan keselamatan tubuh badan mereka.

Kali pertama saya mendengar berita mengenai pencemaran ini adalah menerusi radio negara seberang, Singapura. Tidak lama selepas itu, Menteri Kesihatan Malaysia membuat pengumuman di media bahawa Malaysia tidak ada mengimport sebarang produk susu tepung formula bayi dari China, khususnya produk yang dihasilkan oleh pihak Sanlu Group. Pengumuman dibuat berikutan kes kematian seorang bayi di China manakala lebih 50 bayi lain menghidap penyakit batu karang, dikaitkan dengan pengambilan susu tepung formula bayi yang tercemar dengan melamin yang dikeluarkan oleh pihak Sanlu Group.

Sebenarnya, anda tidak perlu risau sekiranya telah mengambil sebarang produk makanan yang disyaki tercemar dengan melamin. European Commission Directive EC No. 2002/72 telah menetapkan tahap migrasi melamin yang selamat daripada bekas/pembungkus kepada makanan ialah 30 mg/kg makanan. Dalam konteks ini, melamin telah dikesan di dalam minuman, kopi, jus oren, susu fermentasi dalam julat 0.54 – 2.2 mg / kg makanan, di mana ianya berada dalam tahap yang selamat untuk digunakan.

Tentu ada yang tertanya-tanya, apakah kesan melamin terhadap tubuh badan kita? Secara ringkas, kesan melamin secara langsung mengakibatkan iritasi apabila terhidu dan bersentuhan dengan kulit atau mata. Pengambilan melamin melalui makanan juga boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem pembiakan dan pembentukkan batu karang dalam ginjal dan pundi kencing. Ini juga boleh mengakibatkan kegagalan ginjal terutamanya kepada bayi.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, KKM telah mengenakan tindakan Pemeriksaan Tahap 6 (Auto Rejection) kepada semua produk susu tepung formula bayi dari China buat sementara waktu melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia – FoSIM).

Oleh yang demikian, semua produk susu tepung formula bayi dari China tidak dibenarkan diimport ke Malaysia buat masa ini. Perlu diketahui bahawa kesan melamin kepada manusia adalah kurang berbanding dengan haiwan kerana jangka hayat melamin adalah 3 jam dan ianya tidak berkumpul di dalam badan dan dikeluarkan melalui perkumuhan buah pinggang sebagai air kencing.

Baru-baru ini kerajaan mendapati kandungan melamin turut terdapat pada produk pertanian China seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Justeru, anda diingatkan supaya sentiasa memeriksa label makanan untuk memastikan ianya benar-benar selamat untuk dimakan. Bagi saya, cara yang paling mudah: Gunakanlah produk tempatan. Bak kata pepatah, “Mencegah lebih baik daripada Mengubati”

**Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengesahan produk dan berita-berita terkini berkaitan melamin
di sini**

sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments: