VOICES FROM FAR










Tinggalkan komen atau cadangan anda di ruang yang ditetapkan ? Terima kasih. Please leave your comments or suggestions in the comment space as provided respectively.Thank you.

Monday, August 4, 2008

EEZ - Bukti Semangat Muhibah Singapura Terhadap Malaysia?

Umpama "Menjolok Sarang Tebuan" – itulah yang dapat dibayangkan apabila Menteri Kanan Singapura, Balaji Sadasivan mengeluarkan kenyataan bahawa Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan 200 batu nautika kawasan EEZ yang konsisten dengan UNCLOS (sebelum ini Singapura merupakan salah satu pihak yang menandatangani konvensyen berkenaan). Balaji juga berkata, jika had perairan wilayah atau EEZ tersebut bertindih dengan tuntutan negara-negara jiran, Singapura akan berunding dengan negara-negara itu untuk mencapai persetujuan bagi menetapkan had atau batasan mengikut undang-undang antarabangsa.

Sesungguhnya, kenyataan Balaji ini amat memeranjatkan kerana sebelum keputusan hak kedaulatan Pulau Batu Putih ditentukan, bukankah sudah dibentuk Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura? Bukankah selama ini kedua-dua negara telah bersepakat dan berjanji untuk menjadikan jawatankuasa ini sebagai RUJUKAN UTAMA untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan keputusan Mahkamah ICJ? Dan bagaimana pula Singapura boleh dengan sewenang-wenangnya menggambarkan seolah-olah hak perairan kawasan tersebut adalah milik mereka?

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam pada itu mengingatkan Singapura bahawa, kedudukan Pulau Batu Putih yang diberikan oleh Mahkamah ICJ pada Mei lalu terlalu dekat dengan Batuan Tengah yang diberikan kepada Malaysia, untuk mereka mengambil tindakan unilateral. Beliau menambah, tidak semudah itu untuk Singapura membuat keputusan unilateral kerana ianya melibatkan pelbagai aspek perundangan seperti undang-undang laut dan ianya memerlukan nasihat daripada pakar-pakar perundangan. Beliau turut menegaskan perkara tersebut hendaklah dibincangkan secara bersama, seiring dengan semangat kejiranan ASEAN.

Dalam pada itu, kenyataan Balaji turut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak di Malaysia. Antaranya Pergerakan Pemuda UMNO, pemimpin dan rakyat negeri Johor, Institut Maritim Malaysia(IMM), penganalisis-penganalisis politik, pensyarah-pensyarah universiti, Menteri Pelancongan – Datuk Seri Azalina Othman Said, Tun Dr Mahathir Mohammad dan orang awam.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ruangan blognya
chedet mengenai Pulau Batu Putih dan Kawasan Perairan menyatakan seperti berikut:

”Tiada keputusan dibuat tentang persempadanan perairan. Tapi kita boleh anggap yang terumbu tersebut berada di dalam perairan Malaysia kerana keputusan untuk serahkan Pulau Batu Putih kepada Singapura didasarkan kepada satu surat yang ditulis pegawai rendah Johor semasa di bawah jajahan British kepada pegawai British di Singapura. Sepatutnya ianya hendaklah dititah dan ditulis di bawah kuasa Sultan.”

”Apa pun soal perairan di antara Pulau Batu putih dan batu-batu tersebut tidak dibangkitkan Singapura di Mahkamah Antarabangsa. Tuntutannya hanyalah ke atas Pulau Batu Putih dan Mahkamah telahpun menyerahkan pulau ini kepada Singapura. Perairan merupakan hal lain sama sekali.”

Secara kasarnya tindakan Singapura menuntut kawasan wilayah perairan dan EEZ di kawasan berkenaan adalah tidak munasabah sama sekali. Sekiranya ingin disandarkan kepada kenyataan Undang-undang Laut (UNCLOS) Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seperti yang dinyatakan oleh Institut Maritim Malaysia (IMM), merujuk kepada Artikel 121(3) UNCLOS 1982, yang menyebut batu-batu yang tidak boleh menampung kehidupan manusia atau menjana ekonomi dengan sendirinya tidak akan diberikan EEZ atau pentas benua, sudah jelas bahawa Pulau Batu Putih tidak boleh dianggap sebagai satu penempatan sebaliknya hanya bertindak sebagai batu yang tidak berpenghuni, justeru tidak berhak diambil kira dalam menentukan sempadan EEZnya.

Klausa dalam UNCLOS juga mensyaratkan bahawa tuntutan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya – rundingan dengan negara bersempadan mesti dijalankan sebelum mengesahkan secara terbuka bahawa perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika itu adalah miliknya.

Sebenarnya, isu perbalahan mengenai penetapan EEZ bagi negara yang berjiran bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah berlaku kepada negara-negara seperti United Kingdom-Iceland, negara-negara yang berdekatan dengan Laut China Selatan, Turki dan Greece dan sebagainya.

Namun, dengan mengambil kira isu kedaulatan Tubir Selatan (South Ledge) yang masih lagi belum diputuskan dan usaha berterusan yang sedang dilakukan oleh Menteri Luar untuk mencari bukti lanjut bagi mengembalikan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada kerajaan Malaysia, sesungguhnya isu ini tidak boleh dipandang ringan. Pengajaran ke atas pemindahan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada Singapura sudah cukup untuk menyedarkan kita supaya lebih berwaspada dalam menjalinkan hubungan dua hala dengan negara tersebut.

Meskipun isu ini dilihat boleh diselesaikan secara diplomatik, kerajaan Malaysia diharap akan bersikap lebih tegas dalam mencapai kata sepakat berhubung isu sempadan perairan tersebut. Semangat kejiranan dan persefahaman yang diterapkan dalam ASEAN perlu dikekalkan, namun kita harus beringat, kedaulatan negara juga mesti diutamakan.

Sumber:
Utusan Malaysia, chedet.com, wikipedia

No comments: