VOICES FROM FAR










Tinggalkan komen atau cadangan anda di ruang yang ditetapkan ? Terima kasih. Please leave your comments or suggestions in the comment space as provided respectively.Thank you.

Friday, March 20, 2009

BAJET MINI 2009 - terbaik untuk negara!


1. Pembentangan Bajet Mini 2009 bagi merangsang pertumbuhan ekonomi sekaligus meningkatkan daya tahan negara dalam mengharungi kemelesetan ekonomi global telah selamat dibacakan untuk kali kedua di Dewan Rakyat baru-baru ini.


2. Dengan memperuntukkan RM60billion (satu jumlah yang amat besar berbanding jangkaan ramai yang rata-rata menganggarkan RM6billion), pembentangan bajet ini mendapat pujian ramai, termasuk dari kalangan tokoh pembangkang sendiri.


3. Sumber kewangan yang didapati daripada Kumpulan Wang Disatukan itu akan dibelanjakan mengikut teras-teras yang telah dikenalpasti, dengan tempoh pelaksanaannya selama 2 tahun.


4. Empat teras tersebut adalah mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan; meringankan beban rakyat; membantu sektor swasta menghadapi krisis ekonomi semasa; dan membina keupayaan masa depan.

5. Prihatin dengan peningkatan kadar pengangguran di kalangan rakyat, kerajaan antara lain akan mewujudkan 163,000 peluang latihan dan penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta, mengisi 63,000 jawatan di pelbagai agensi kerajaan dan memberikan insentif cukai kepada syarikat yang mengambil pekerja yang diberhentikan.

6. Kerajaan juga akan menampung kos yuran pengajian masing-masing sebanyak RM10,000 dan RM20,000 bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah dan sarjana serta mengembangkan skop skim Prosper Siswazah.

7. Prihatin dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, peruntukan tambahan RM674 juta disalurkan sebagai subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung, selain RM480 juta supaya kadar tol lebuh raya tidak dinaikkan.

8. RM200 juta pula diperuntukkan sebagai peruntukan tambahan kepada Syarikat Perumahan Negara Bhd untuk membina rumah mesra rakyat, sementara bagi membantu pembeli rumah, kerajaan akan memberikan pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama tiga tahun.

9. Tidak dilupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan antara lain akan menubuhkan Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Dana Jaminan Penstrukturan Semula Industri masing-masing dengan dana RM5 bilion; serta sebuah Institusi Jaminan Kewangan dengan modal awal RM1 bilion.

10. Bagi sektor automotif, kerajaan bersama dengan Proton dan Perodua mewujudkan skim pelupusan kereta di mana pemilik sebarang jenama kereta yang mahu melupuskan kereta berusia lebih 10 tahun akan diberikan diskaun RM5,000 bagi membeli kereta baru.

11. Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan yang kerajaan akan meningkatkan dana pelaburan Khazanah Nasional sebanyak RM10 bilion yang akan dilaburkan dalam projek impak tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang; mengenal pasti projek pelaburan bernilai RM5 bilion yang akan dilaksanakan secara di luar bajet; serta penyediaan dana sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan projek melalui Inisiatif pembiayaan Swasta (PFI).

12. Hari ini, kita dapat menyaksikan betapa kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat sendiri memerlukan suntikan ‘berbillion’ mahupun ‘trillion’ bagi membaikpulih keadaan ekonomi negaranya. Ada diantara rakyatnya - para siswazah, cendekiawan dan cerdik pandai perlu hidup di dalam khemah disebabkan kehilangan mata pencarian berikutan krisis subprima yang melanda negara itu sejak tahun lalu. Pertumbuhan ekonomi sebanyak negatif 1.6 peratus turut diramalkan bagi Amerika Syarikat, sementara United Kingdom negatif 2.8 peratus, dan Jepun negatif 2.6 peratus.

13. Justeru, sebagaimana yang telah disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri sewaktu membentangkan Bajet Mini ini, kerjasama semua pihak amatlah diperlukan bagi meningkatkan lagi daya tahan negara dalam menghadapi krisis global ini. Segala demonstrasi dan tingkahlaku yang tidak membawa kebaikan dan memburukkan imej negara hendaklah dihentikan dan bersama-samalah kita meningkatkan daya usaha bagi memajukan ekonomi negara. Yakinlah, bahawa Bajet Mini 2009 ini adalah yang terbaik, dan mampu meningkatkan kemampanan negara dalam menghadapi ribut ekonomi yang melanda dunia kini.


No comments: